Fahmi tolak dakwaan perjanjian perdagangan Malaysia-AS gugat kedaulatan negara

MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, dakwaan bahawa perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menggugat kedaulatan negara adalah tidak benar,

Katanya, setiap perjanjian perdagangan yang dimeterai kerajaan melalui proses penelitian yang rapi, termasuk oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), bagi memastikan kepentingan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Tidak mungkin Kabinet atau Jemaah Menteri akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang menjejaskan kedaulatan negara. Semua perjanjian akan diteliti oleh AGC terlebih dahulu kerana fungsi dan tanggungjawab AGC adalah menasihati kerajaan.

“Mana mungkin Malaysia sampai ke tahap menjual kedaulatan negara?. Ini mustahil,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di Putrajaya hari ini.

SEMALAM selepas pembangkang menggesa supaya sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membahaskan isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai pada Ahad lalu, seorang ahli Parlimen daripada kerajaan turut mengkritik perjanjian berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mempersoalkan perjanjian berkenaan kerana didakwa mendatangkan banyak kemudaratan kepada negara.

Beliau juga secara terbuka mengkritik pihak yang terlibat dalam rundingan perjanjian itu kerana disifatkan menggadaikan maruah negara hanya untuk menurunkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia kepada 19 peratus.

“Saya amat dukacita. Malaysia sebuah negara berdaulat bukan sahaja secara politik tetapi juga dari segi ekonominya. Bagaimana dalam masa tidak sampai dua hari, Presiden AS, Donald Trump datang ke sini dan kita telah menandatangani perjanjian yang melibatkan begitu banyak konsesi,’’ katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Malaysia terpaksa menyerahkan kepada AS sebanyak RM1 trilion dalam tempoh beberapa tahun.

‘’Ini satu penyerahan, satu pemunggahan harta negara ke Amerika Syarikat. Ini tidak boleh diterima. Saya mengkritik perjanjian ini. Saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya selepas ini, tetapi saya tidak bersetuju,’’ kata Hassan.

Bagaimanapun dalam ucapannya Fahmi turut menegaskan bahawa tohmahan kononnya kerajaan menjual kedaulatan negara melalui perjanjian perdagangan itu bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kedaulatan negara tidak pernah tergadai. Satu-satunya ketika ia tercabar ialah sewaktu Pulau Batu Puteh dilepaskan, dan itu amat dikesali. Selain daripada itu, tidak pernah berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan.

Untuk rekod, Pada 22 Julai lalu di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.

Bagaimanapun, kata Anwar, kerajaan  berpendirian Dr. Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.

Ketika menjawab kenyataan Anwar itu, pada 23 Julai Dr. Mahathir  menegaskan beliau tidak mahu diberikan imuniti bersabit kes Pulau Batu Puteh, sebaliknya bersedia didakwa di mahkamah.

Ini kerana, menurutnya, beliau yakin tidak bersalah dalam isu terbabit sekaligus mahu membuktikannya di mahkamah.

Malah, secara sinis, katanya, imuniti adalah untuk mereka yang takut untuk ke mahkamah kerana sedar dirinya bersalah.

“Dia kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti. Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya menerusi laman sosial Facebook

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img