SEORANG lelaki yang dipercayai menjadikan teksi sebagai perangkap untuk menyamun penumpang wanita dan warga emas maut ditembak polis dalam serbuan di sebuah bilik di Chow Kit, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun sekitar ibu negara itu ditembak selepas melepaskan beberapa das tembakan ke arah sepasukan polis yang menyerbu biliknya kira-kira jam 2 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
Menurutnya, suspek lelaki warga tempatan itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas ancaman keselamatan berjaya dikawal.
“Hasil pemeriksaan di bilik suspek, polis merampas sepucuk senjata api dan dadah disyaki syabu.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan teksi sebagai modus operandi untuk menyamun penumpang wanita dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata, dengan tertumpasnya suspek itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 24 kes samun yang dilaporkan sebelum ini.
Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.





