POLIS sedang mengesan senjata yang digunakan suspek lelaki untuk menikam ibunya, Zahrullail Basir, 52, hingga mati di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di Alor Setar, Kedah semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, setakat ini usaha untuk mencari senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan eksekutif operasi bank itu sedang giat dilakukan polis.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati hanya suspek seorang yang melakukan perbuatan menikam ibunya itu.
“Suspek dipercayai mempunyai masalah panas baran dan siasatan awal kejadian ini dipercayai berpunca masalah kewangan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan dan suspek sudah direman tujuh hari sehingga 9 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Media semalam melaporkan, seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di Alor Setar semalam.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan polis pada jam 8.34 malam tadi dalam sebuah bas persiaran ketika dalam perjalanan menuju ke Selangor.



