Ibu pejabat baharu, pelaburan RM90 juta meriahkan ulang tahun ke-30 SME Corp.

PERASMIAN ibu pejabat baharu SME Corp. Malaysia di Menara AIA Cap Square di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur hari ini menjadi antara pencapaian penting agensi itu sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-30.

Perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam usaha memperkukuh peranan agensi berkenaan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pada majlis sama, Steven turut melancarkan Program Pelaburan PKS yang menyasarkan pengumpulan dana sekurang-kurangnya RM90 juta bagi pelaburan dalam syarikat PKS tempatan berpotensi tinggi.

STEVEN Sim Chee Keong merasmikan ibu pejabat baharu SME Corp. Malaysia di Menara AIA Cap Square di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: KUSKOP

Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama SME Corp. Malaysia dengan beberapa rakan pelaburan termasuk Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), OSK Ventures International Berhad dan Hartamodal Sdn. Bhd.

Inisiatif berkenaan bertujuan memperluas pilihan pembiayaan kepada PKS, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pinjaman bank bagi mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Dalam ucapannya, Steven berkata, perpindahan ibu pejabat itu turut membolehkan SME Corp. Malaysia mengurangkan kos sewaan dengan penjimatan dianggarkan RM17 juta setahun.

Penjimatan berkenaan juga dijangka mencecah setengah bilion ringgit dalam tempoh 30 tahun akan datang, selaras dengan pendekatan perbelanjaan berhemah dan reformasi tatakelola di bawah Kerajaan MADANI.

Beliau turut memaklumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melaksanakan Pelan Tindakan SCALE 2027 yang memberi tumpuan kepada lima bidang strategik bagi memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Lima fokus berkenaan merangkumi penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam PMKS, keperluan kandungan tempatan serta usaha mempermudah akses pembiayaan.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Teng Chang Khim berkata, perpindahan ke ibu pejabat baharu itu mencerminkan permulaan fasa baharu yang selari dengan hala tuju dan nilai penawaran agensi berkenaan.

“Perpindahan ini melambangkan permulaan kepada fasa baharu yang selari dengan Tawaran Nilai (Value Proposition) SME Corp. Malaysia, iaitu ‘Kami Memperkasa PKS untuk Berkembang dan Bersaing dengan Menghubungkan Inisiatif, Pengetahuan dan Peluang’,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy pula berkata, ibu pejabat baharu itu menempatkan kira-kira 260 kakitangan dengan menghimpunkan keseluruhan fungsi agensi berkenaan di bawah satu bumbung.

Menurutnya, penyusunan itu merangkumi 12 bahagian dan tiga unit bagi memperkukuh peranan SME Corp. Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) dalam ekosistem PMKS.

“Sebagai CCA, SME Corp. Malaysia memastikan dasar berkaitan PMKS diterjemahkan kepada tindakan, program saling melengkapi tanpa ketirisan dan pertindihan, serta sumber Kerajaan dimanfaatkan secara optimum,” katanya.

Bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan pembangunan perniagaan, SME Corp. Malaysia turut menyediakan Hab PMKS sebagai pusat fizikal untuk khidmat nasihat perniagaan dan rujukan setempat.

Selain itu, Laman PMKS (SPARQ) berfungsi sebagai hab pembangunan perniagaan bersepadu yang menghubungkan usahawan kepada khidmat nasihat, latihan, jaringan strategik, akses pasaran serta peluang pertumbuhan melalui pendekatan fizikal dan digital.

SME Corp. Malaysia ditubuhkan pada 2 Mei 1996 sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum dijenamakan semula sebagai SME Corp. Malaysia pada 2 Oktober 2009.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here