KARNIVAL Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun lalu di Melaka, berjaya mencapai sasaran impak tinggi apabila merekodkan nilai keseluruhan padanan perniagaan dan potensi pembiayaan mencecah RM8.45 juta.
Sepanjang tiga hari penganjuran, karnival ini berjaya menarik seramai 70,000 orang pengunjung serta mencatatkan jualan langsung produk usahawan sebanyak RM532,802.77.

Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sebanyak RM6.4 juta nilai padanan perniagaan berjaya dijana menerusi 72 sesi yang melibatkan 25 usahawan berpotensi.
Selain itu, katanya, sebanyak 55 syarikat Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut meraih manfaat melalui sesi interaksi kewangan yang merekodkan jumlah potensi pembiayaan bernilai RM2.05 juta.

“Susulan kejayaan penganjuran di Melaka, siri ketiga Karnival HPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Julai depan bertempat di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Pulau Pinang,” kata kenyataan dikeluarkan kementerian itu hari ini.
Karnival HPM merupakan inisiatif di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bagi mendukung pelaksanaan misi strategik ABCD ke arah memperkukuh pembangunan perusahaan tempatan.
“Inisiatif ini menyediakan platform bersepadu untuk PMKS dan koperasi meningkatkan kapasiti perniagaan, mengembangkan jaringan strategik serta meneroka peluang pertumbuhan baharu,” kata kementerian itu.






