JENAMA minuman cola tempatan, Kuala Cola memperluas capaian pasarannya apabila berjaya memasuki 19 stesen minyak 5Petrol di seluruh Semenanjung Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan rangkaian berkenaan.
Perkembangan itu sekali gus membuka ruang kepada produk keluaran Neatness Group Sdn Bhd untuk menembusi saluran jualan runcit stesen minyak dan mendekati lebih ramai pengguna, khususnya pengembara serta pengguna jalan raya.
Pencapaian berkenaan diraikan menerusi Majlis Pelancaran Rasmi Kuala Cola di 5Petrol KLIA Pit Stop di Sepang hari ini, selepas kerjasama yang bermula dengan sebuah stesen berkembang kepada 19 lokasi.
Menurut wakil Neatness Group, 5Petrol merupakan rangkaian stesen minyak pertama yang memberikan peluang kepada Kuala Cola memasuki saluran pengedaran berkenaan.
“Setiap jenama memerlukan peluang pertama untuk membuktikan kemampuannya. Bagi Kuala Cola, 5Petrol merupakan rakan strategik yang membuka pintu kepada kami untuk memasuki saluran stesen minyak.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan peluang yang diberikan. Apa yang bermula dengan satu kerjasama kini telah berkembang kepada 19 stesen di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkembangan itu bukan sekadar pertambahan lokasi jualan, sebaliknya membuktikan produk tempatan juga berpeluang mendapat tempat dalam pasaran domestik menerusi sokongan rakan niaga strategik.
Kuala Cola kini menawarkan tiga variasi produk iaitu Original Cola, Zero Sugar dan Mix Cola bagi memenuhi pilihan pengguna yang berbeza.
Original Cola menampilkan rasa cola klasik, manakala Zero Sugar ditawarkan sebagai pilihan tanpa gula dan sifar kalori. Mix Cola pula menggabungkan rasa cola dengan campuran garam Himalaya.
Menggunakan slogan ‘Tiga Rasa, Satu Malaysia’ dan tagline ‘Balance The Taste, Rasa Seimbang’, jenama itu berusaha membina identiti tersendiri dalam pasaran minuman tempatan.
Pemilihan 5Petrol KLIA Pit Stop sebagai lokasi pelancaran turut mengambil kira kedudukannya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang menjadi laluan pengguna jalan raya, pengembara serta pelawat tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Neatness Group melihat perkembangan rangkaian pengedaran berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan Kuala Cola dan meningkatkan penerimaan pengguna.
Syarikat itu turut merancang meneroka peluang perniagaan baharu serta menjalin kerjasama dengan pemain industri runcit dan pengedaran, termasuk bagi pasaran dalam dan luar negara.





