PM bincang potensi pelaburan teknologi tinggi dengan empat syarikat China

MALAYSIA meneroka peluang menarik pelaburan dalam sektor teknologi tinggi dan memperluas jaringan penyumberan komponen industri menerusi beberapa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan empat syarikat terkemuka dari China.

Pertemuan itu membabitkan Fastprint, Fastrain, China General Nuclear Power Corporation (CGN) dan Kingfa Sci & Tech Co Ltd bagi membincangkan potensi pelaburan serta peluang mendapatkan sumber bekalan dari Malaysia.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada bidang pembuatan semikonduktor termaju, teknologi fotonik, komunikasi optik serta pembangunan bateri dan penyimpanan tenaga.

“Pertemuan dengan Fastprint dan Fastrain memberi tumpuan kepada cadangan pelaburan dalam bidang pembuatan substrat pembungkusan semikonduktor termaju, komponen fotonik dan komunikasi optik, serta teknologi bateri dan penyimpanan tenaga,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Perdana Menteri, bidang berkenaan berpotensi meningkatkan keupayaan pembuatan dan kejuruteraan negara, selain menyokong perkembangan ekonomi digital serta agenda peralihan tenaga Malaysia.

Sementara itu, menurut beliau, perbincangan dengan CGN dan Kingfa memberi tumpuan kepada peluang mendapatkan bekalan komponen elektrik dan elektronik (E&E), sistem tenaga solar, bahan kimia khusus, resin polimer serta plastik kitar semula dari Malaysia.

Katanya, penyumberan bahan dan komponen tempatan itu bertujuan menyokong operasi serta rantaian bekalan global kedua-dua syarikat berkenaan.

Dalam memastikan kerjasama pelaburan membawa pulangan kepada negara, Anwar menegaskan kepentingan manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat, terutama melalui pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pemindahan teknologi.

“Kerjasama perdagangan dan pelaburan ini perlu membawa manfaat langsung kepada ekonomi dan rakyat Malaysia, khususnya melalui penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan kepakaran teknikal, serta penyertaan lebih meluas perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembekal dan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara industri dengan universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan sektor teknologi tinggi.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan bakat tempatan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha menarik pelaburan berkualiti dan memperluas peluang perdagangan yang mampu meningkatkan keupayaan industri tempatan, mempercepat pemindahan teknologi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat,” katanya.

Perbincangan itu selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan kerangka Ekonomi MADANI yang antara lain memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan industri tempatan, penguasaan teknologi serta pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here