Lima warga emas parah bas persiaran terbabas di Bukit Kimanis

LIMA warga emas cedera parah selepas bas persiaran membawa 21 individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika menuruni bukit di Jalan Bukit Kimanis-Keningau di Papar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 petang itu, lima mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, mangsa terdiri daripada dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun serta tiga wanita berusia antara 60 hingga 66 tahun.

Beliau berkata, kesemua mangsa mengalami kecederaan serius membabitkan bahagian kepala, dada, bahu dan muka, selain patah kaki, tangan serta jari.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.34 petang sebelum menggerakkan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.58 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 21 penumpang.

“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera bersama pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya, lapor Harian Metro.

Nelson berkata, semua mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, kesemua 21 individu dalam bas berkenaan adalah warganegara Malaysia dan dipercayai dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here