Ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus, kekal di landasan kukuh – Anwar

EKONOMI Malaysia mencatat pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, menjadikan kadar pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus berbanding 4.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu meletakkan negara di landasan untuk merekodkan pertumbuhan melebihi lima peratus bagi tahun ketiga berturut-turut.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, prestasi berkenaan mencerminkan ketahanan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan pelbagai cabaran ekonomi global.

“Alhamdulillah, ekonomi negara terus ampuh dengan pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencecah 5.6 peratus, ketimbang 4.8 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pencapaian tersebut turut menyediakan asas lebih kukuh untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat menerusi pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat secara menyeluruh.

Katanya, kerajaan tidak akan mengetepikan agenda reformasi meskipun persekitaran ekonomi dunia terus berdepan tekanan akibat konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.

“Kendatipun dunia terus diasak kemelut geopolitik dan cabaran ekonomi, Kerajaan MADANI tidak berganjak daripada iltizam reformasi, di samping mengambil langkah proaktif untuk memelihara kestabilan ekonomi dan menjamin bekalan bahan api tatkala krisis Asia Barat melanda,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memastikan kestabilan ekonomi domestik dan kelangsungan bekalan tenaga negara dalam menghadapi kesan krisis berkenaan.

Mengulas hala tuju seterusnya, beliau berkata, Belanjawan 2027 akan meneruskan usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui beberapa langkah bersasar.

“Insya-Allah, Belanjawan 2027 meneruskan tekad untuk menaikkan siling pertumbuhan dan mengangkat lantai kehidupan rakyat melalui bantuan yang diperkukuh, pengurangan cukai pendapatan bagi golongan yang layak serta penambahbaikan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau menegaskan usaha berkenaan akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap kemajuan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat berteraskan prinsip keadilan, ihsan dan kemanusiaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here