PEJABAT Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, pihaknya hanya mengetahui perkembangan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menerusi kenyataan di media sosial pada 16 November lalu.
Beliau berkata, situasi berkenaan merupakan perkara baharu dalam pentadbiran negeri memandangkan tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus disediakan bagi menguruskan peletakan jawatan Menteri Besar.
“Benda ini tidak pernah berlaku (Menteri Besar letak jawatan) dan kami memang tidak ada satu prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung perkara itu.
“Prosedur ini berbeza daripada perkhidmatan awam kerana ia melibatkan urusan pentadbiran yang berlainan daripada tata cara berkaitan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri satu majlis di Seremban hari ini, lapor Bernama.
Mengulas kedudukan terkini Ismail, Mohd Zafir berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang maklumat baharu, termasuk perkembangan hasil pertemuan Ismail dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata, urusan pentadbiran di Pejabat SUK, Pejabat Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri berjalan seperti biasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Perjalanan Pejabat Menteri Besar berjalan macam biasa, fungsinya juga berjalan macam biasa. Saya pun tak ada jumpa (Ismail) lagi buat masa ini,” katanya.
Mohd Zafir turut memaklumkan beliau belum menerima sebarang panggilan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan perkembangan berkenaan.
Ismail, 67, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu, dilaporkan mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan semalam memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Tuanku Muhriz turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail dalam satu sesi yang bermula kira-kira jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang semalam.





