SEORANG lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 19.04 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, 8 November lalu.
Tertuduh, Chen Long, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.20 pagi di Mesin Bagasi A, Kaunter Daftar Masuk, lapangan terbang berkenaan.
Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Buletin TV3.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Mahkamah menetapkan 26 Februari 2027 untuk penyerahan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainin Sofiya Azlaini, manakala tertuduh diwakili peguam, Sivahnanthan Ragava.





