SEORANG lelaki warga Singapura ditahan selepas polis menemukan 19.04 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.52 juta dalam bagasinya di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, Ahad lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan terhadap bagasi berzip milik suspek berusia 29 tahun itu menemukan 36 bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki bunga ganja.
Menurutnya, kegiatan itu dikesan anggota polis bantuan LTSAS yang mengesyaki bagasi berkenaan ketika pemeriksaan bagasi penumpang dijalankan.
“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu pada mulanya ditawarkan pekerjaan menerusi laman web dengan upah lumayan untuk membawa bagasi yang kononnya mengandungi barangan tiruan berjenama mewah ke London.
“Suspek ditawarkan upah SGD4,000 (kira-kira RM12,600) bagi membawa barangan berkenaan. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati bagasi itu mengandungi dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, suspek dipercayai tiba dari Singapura ke Kuala Lumpur sebelum bermalam di Kajang, Selangor dan memperoleh bagasi berisi dadah itu.
“Suspek kemudian ke Ipoh menggunakan kenderaan e-hailing pada Sabtu lalu dan dijadualkan menaiki penerbangan dari LTSAS ke Singapura sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke London,” katanya.
Mohd Alwi berkata, saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas dipercayai mampu menampung keperluan kira-kira 47,900 penagih.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai memperdaya individu menerusi tawaran pekerjaan dengan bayaran tinggi sebelum memperalatkan mereka sebagai keldai dadah.
“Lapangan terbang yang kurang sibuk seperti di Ipoh dipercayai menjadi antara laluan sindiket untuk membawa dadah ke luar negara melalui penerbangan komersial dengan menyembunyikannya di dalam bagasi penumpang,” katanya.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





