Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu laporan lengkap berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pihaknya menerima laporan penuh berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, pihaknya belum dapat mengulas sama ada kematian pelajar berkenaan mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan mental.
“Saya tidak boleh memberikan komen mengenai perkara itu sehingga menerima kenyataan rasmi.
“Saya berjanji akan menyampaikan maklumat berkenaan kepada semua pihak media sebaik sahaja mendapatkannya,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Kesihatan dan Kesejahteraan: Membangun Bakat dan Kapasiti Penyelidikan di seluruh Asia sempena Festival of Ideas (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Media hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelajar berkenaan.
Anwar berkata, tiada sebarang aspek harus diketepikan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta kejadian seumpama itu dapat dicegah daripada berulang.





