SEORANG lelaki dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua individu melalui tawaran penjualan kereta milik kerajaan dan pembelian Rumah Selangorku yang tidak wujud.
Majistret Norsalihah Sulaiman menjatuhkan hukuman terhadap Al Zulfadly Alias, 40, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 26 tahun dengan menawarkan sebuah kereta Honda City milik kerajaan dan sebuah rumah di bawah rizab tanah Sultan Selangor untuk dibeli.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM22,300 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Enstek, Nilai, antara 6 Julai 2024 hingga 22 Mac 2025, lapor Harian Metro.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 25 tahun supaya membuat pembayaran RM5,000 sebagai deposit bagi pembelian sebuah unit Rumah Selangorku yang tidak wujud.
Kesalahan itu dilakukan antara 8 hingga 9 Oktober 2024 di sebuah kilang di Sendayan Techvally, di sini.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), J Dasene.
Pada 17 November lalu, media melaporkan Al Zulfadly yang disyaki menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu berkaitan pembelian hartanah dan kenderaan mewah.




