SEBANYAK 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka hari ini bagi melengkapkan pembentukan pentadbiran baharu negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Sabtu lalu.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di Dewan Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Asmah Abd Rahman, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.
Ab Rauf berkata, muka baharu tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET; ADUN Kelebang, Datuk Lim Ban Hong (Kesihatan dan Modal Insan) dan ADUN Gadek, S Nadarajah (Belia, Sukan dan NGO).
“Selain itu, ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana),” katanya selepas majlis istiadat tersebut, lapor Astro Awani.
Ab Rauf berkata, lima ADUN dikekalkan iaitu ADUN Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin (Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup) dan ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa).
“Ia juga membabitkan ADUN Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan (Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan) serta ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti).
“Saya pula menyandang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata dua ADUN dilantik sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri iaitu ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Tugas-tugas Khas) dan ADUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem (Pelaburan dan Industri).
Beliau berkata, ADUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz pula sebagai Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital; ADUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Timbalan Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup) dan ADUN Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa (Timbalan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti).
“ADUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood (Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat), ADUN Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah (Timbalan Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana); ADUN Sungai Rambai, Jezlee Pit (Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa).
“ADUN Serkam, Datuk Azman Abdullah (Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan); ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET); ADUN Taboh Naning, Datuk Zulkifli Mohd Zin (Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan) dan ADUN Paya Rumput, Rafie Ahmad (Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO),” katanya.
Beliau turut mengumumkan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka manakala Speaker DUN akan diputuskan kemudian.
Barisan Exco berkenaan turut dipertanggungjawabkan melaksanakan 113 inisiatif yang digariskan dalam manifesto gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN), selain meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Pada PRN Melaka ke-16 Sabtu lalu, BN dan PN memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.





