PIHAK berkuasa digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tujuh projek pembangunan bermasalah di Melaka bagi mengenal pasti punca kegagalan serta pihak yang bertanggungjawab, termasuk kontraktor yang dilantik melaksanakan projek berkenaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kegagalan projek yang membabitkan perancangan dan penggunaan dana awam itu menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan pengurusan, integriti proses perolehan serta tahap pemantauan oleh pihak berkaitan.

Beliau memberitahu, siasatan perlu merangkumi kontraktor, pemaju, perunding dan pegawai yang terlibat dalam proses kelulusan, pelaksanaan serta pemantauan bagi memastikan tiada pihak terlepas daripada tanggungjawab masing-masing.
“Persoalan utama adalah mengapa projek yang telah dirancang, diluluskan atau menerima perbelanjaan besar akhirnya gagal mencapai matlamat asal?.
“Adakah kegagalan itu berpunca daripada kelemahan kontraktor, masalah pembiayaan, kecuaian pengurusan, kelemahan pemantauan atau wujud unsur penyelewengan dan rasuah?,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Antara tujuh projek yang menjadi perhatian adalah Monorel Melaka, Melaka Gateway, pembangunan Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), Kompleks Sukan Mini Bemban, Jambatan Melaka-Indonesia, Arab City dan Planetarium Melaka.
Sebahagian projek berkenaan telah dirancang atau dimulakan sejak beberapa tahun lalu, namun berdepan pelbagai masalah pelaksanaan sehingga menimbulkan persoalan mengenai status kemajuan, perbelanjaan serta hala tuju pembangunannya.
Antaranya, Monorel Melaka yang dibangunkan dengan kos RM16.5 juta, manakala pembangunan Melaka Gateway pula dianggarkan bernilai RM43 bilion.
Jais dalam pada itu berkata, kontraktor yang gagal memenuhi tanggungjawab mengikut syarat perjanjian tidak seharusnya terlepas daripada penelitian hanya kerana projek berkenaan telah berlarutan bertahun-tahun.
Katanya, pegawai yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran atau mengesahkan kemajuan kerja juga perlu disiasat sekiranya terdapat petunjuk berlakunya ketidakaturan dalam pelaksanaan projek.
Sehubungan itu, MCW menggesa Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan menjalankan audit forensik terhadap projek terbabit, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka siasatan sekiranya terdapat asas munasabah mengesyaki berlakunya rasuah, tuntutan palsu atau penyalahgunaan kuasa.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri mendedahkan identiti syarikat yang terbabit, nilai sebenar kontrak, jumlah pembayaran yang telah dibuat, punca kegagalan serta tindakan pemulihan dan penguatkuasaan yang sudah diambil.
“Jika berlaku pelanggaran kontrak, tindakan sewajarnya termasuk tuntutan ganti rugi, penamatan kontrak, tindakan terhadap bon pelaksanaan atau sekatan penyertaan tender perlu dipertimbangkan mengikut undang-undang dan syarat kontrak.
“MCW tidak mahu isu projek bermasalah hanya menjadi bahan perdebatan politik setiap kali pilihan raya berlangsung tanpa penyelesaian konkrit.
“Wang rakyat mesti dipertanggungjawabkan. Projek yang gagal mesti diaudit, puncanya dikenal pasti dan pihak yang terbukti bersalah mesti dikenakan tindakan,” tegas beliau.





