LIMA pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan selepas pemeriksaan rutin di Pangkalan Udara Subang menemukan lima bagasi dan sebuah kotak mengandungi dadah berbahaya pada 17 November lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu dibuat petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), pangkalan berkenaan.
Beliau berkata, lima bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.
“Pada kira-kira jam 5.20 petang hari sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan adalah dadah berbahaya.
“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak disita sebagai bahan bukti, manakala lima pegawai TUDM yang disyaki terbabit ditahan PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penemuan itu merupakan kejadian pertama seumpamanya dikesan menerusi pemeriksaan dalaman rutin yang dilaksanakan TUDM bagi memastikan organisasi itu bebas daripada kegiatan dadah.
Sehubungan itu, katanya, TUDM mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut serta akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses berkenaan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti terbabit atau bersubahat,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.
Pada masa sama, beliau menegaskan Kementerian Pertahanan sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan, termasuk pengendalian kes berkenaan.





