TIGA remaja lelaki berusia 14 tahun bakal menjadi individu pertama di Kelantan didakwa di bawah Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) selepas dikesan melakukan aksi ‘wheelie‘ dan perlumbaan motosikal secara ekstrem.
Mereka dikenal pasti sebagai penunggang paling agresif menerusi rakaman risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan ketika Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di Kota Bharu dari jam 5 hingga 7 malam tadi.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, tindakan itu merupakan pendekatan baharu penguatkuasaan susulan pindaan APJ 1987 yang berkuat kuasa 16 Oktober lalu.
Menurutnya, Seksyen 42A diperkenalkan khusus untuk menangani kegiatan berlumba dan menguji kelajuan motosikal tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
“Kita kenal pasti tiga individu ini kerana aksi mereka paling ekstrem dan agresif, termasuk melakukan ‘wheelie‘.
“Berdasarkan rakaman risikan, mereka menepati ciri-ciri untuk dikenakan tindakan di bawah seksyen berkenaan dan bukti rakaman itu juga akan digunakan di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Pejabat JPJ Kelantan di Kota Bharu malam ini.
Operasi sama turut membawa kepada penyitaan 25 motosikal untuk pemeriksaan lanjut yang kemudian menghasilkan 100 tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan, termasuk ketidakpatuhan dokumen dan pengubahsuaian teknikal.
Mohd Misuari berkata, daripada jumlah itu, tiga kes dikenal pasti memenuhi ciri kesalahan di bawah Seksyen 42A, manakala pemeriksaan terhadap motosikal yang dibawa ke JPJ turut bertujuan mengesan kesalahan lain.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, golongan yang terbabit dalam aktiviti berkenaan berusia antara 12 hingga 18 tahun.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan perlumbaan haram dan kegiatan itu dipercayai masih berterusan meskipun operasi penguatkuasaan pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Kita ada risikan dan menerima maklumat daripada orang awam, termasuk gambar aksi ‘wheelie‘, perlumbaan serta perkumpulan remaja di beberapa lokasi.
“Mereka mungkin menyangka kita sudah kurang melakukan pemantauan, tetapi risikan sentiasa berjalan,” katanya.
Mengulas hukuman, beliau berkata, pesalah yang disabitkan kesalahan buat kali pertama di bawah Seksyen 42A boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi sabitan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing, khususnya remaja bawah umur yang menunggang motosikal tanpa lesen.
“Tanggungjawab itu bermula dari rumah. Ibu bapa perlu tahu pergerakan anak dan tidak sepatutnya membenarkan mereka yang masih bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.
“Lesen bukan sekadar kebenaran berada di jalan raya, sebaliknya turut melibatkan pendidikan dan latihan mengenai undang-undang serta keselamatan jalan raya,” katanya.





