Seludup dadah guna aset tentera: Dua anggota TUDM direman tujuh hari

DUA anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berpangkat Koperal dan Pegawai Waran 2, masing-masing berusia 28 dan 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan polis di Mahkamah Majistret Tawau pagi ini.

Kedua-dua suspek ditahan dalam operasi polis awal pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

Penahanan terbaharu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta yang membabitkan beberapa pegawai TUDM dan orang awam.

Polis turut memohon kebenaran membawa kedua-dua suspek ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dan terperinci dijalankan berikutan kes berkenaan membabitkan rampasan dadah berskala besar.

Sepanjang tempoh reman itu, kedua-dua suspek akan ditempatkan di lokap Balai Polis Tawau sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Polis Mukim Batu, Kuala Lumpur bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan, lapor Harian Metro.

Media semalam melaporkan, lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan untuk menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, terutama Filipina dan Indonesia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here