Anggota polis trafik cedera ketika tahan penunggang motosikal tanpa nombor plat

SEORANG anggota polis trafik cedera pada paha kiri selepas terjatuh ketika cuba menahan seorang penunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran dalam Op Motosikal di sebuah stesen minyak di Bandar Jerteh, Besut malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut terbabit, Koperal Saiful Azli Sabtu, 36, sedang menjalankan tugas sebelum cuba menahan penunggang terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, penunggang berkenaan menggunakan motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hitam dan merah serta tidak memakai topi keledar.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak memecut motosikal secara tiba-tiba sehingga menyebabkan anggota berkenaan terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian paha kiri.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Besut atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here