DUA wanita warga Vietnam yang bekerja di sebuah kelab malam bersama seorang lelaki Bangladesh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan imigresen di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.
Tran Thi Diem My dan Huynh Thi Hiep, masing-masing berusia 22 tahun, serta Abdul Jabbar Sorif, 42, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, namun ketiga-tiganya melunaskan bayaran.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, Tran Thi dan Abdul Jabbar didapati memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, sekali gus melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
Sementara itu, Huynh Thi didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana berada di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Trumz Lounge & KTV, Taman Melaka Raya, pada 28 September lalu, jam 2.45 pagi.
Mahkamah mengenakan denda RM5,000 masing-masing terhadap Tran Thi dan Abdul Jabbar, manakala Huynh Thi didenda RM10,000.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Toh Wei Hao, 38, didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah melanggar syarat lesen dengan menjalankan operasi pusat hiburan berkenaan melebihi waktu ditetapkan pada tarikh dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001.





