Bekas pegawai bank didenda RM36,000 gagal lapor suapan

SEORANG bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM80,123.60 berkaitan permohonan pembiayaan peribadi antara 2021 hingga 2023.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman terhadap Noor Iskandar Aziz, 45, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan masing-masing RM3,400, RM14,540, RM11,690, RM18,425, RM1,375 dan RM30,693.60 melalui deposit tunai ke dalam akaun bank miliknya serta akaun bank isterinya.

Suapan itu diterima daripada dua individu dan syarikat CSA Infinite Consultancy bagi membantu permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan CSA Academy Sdn Bhd secara serentak di beberapa institusi kewangan lain.

Tertuduh didakwa gagal melaporkan pemberian berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua cawangan bank di Kuala Lumpur dan Setia Alam antara 5 Oktober 2021 hingga 11 Mei 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Ketika hujahan mitigasi, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Sean Dudley merayu hukuman minimum berbentuk denda dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak.

“Selepas didakwa, anak guam saya bekerja sebagai penghantar barang bagi menyara kehidupan.

“Pendapatan yang rendah itu digunakan untuk menyara dua anak, menjaga ibu bapanya serta ibu mentua yang separuh lumpuh akibat strok.

“Dia sendiri adalah pesakit tekanan darah tinggi yang memerlukan rawatan dan perubatan secara berterusan.

“Tertuduh juga sudah memberi kerjasama baik kepada SPRM sepanjang siasatan dan beliau tidak mempunyai rekod jenayah. Kami mohon hukuman berbentuk denda,” katanya, lapor Harian Metro.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here