Lelaki Malaysia cuba seludup 4 kilogram emas bernilai RM2.25 juta dalam kasut ditahan di Indonesia

SEORANG lelaki warga Malaysia ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup empat kilogram emas bernilai kira-kira RM2.25 juta yang disembunyikan di dalam kasutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, berhampiran Padang, Indonesia.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada 12 November lalu ketika berada di kawasan pelepasan penumpang bagi penerbangan ke Malaysia.

Ketua Pejabat Cukai dan Kastam Teluk Bayur di Padang, Ade Zirwan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang penumpang yang menunjukkan gerak-geri mencurigakan.

Susulan maklumat itu, pegawai menjalankan pemantauan dan analisis lanjut sebelum melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan.

Ade berkata, pemeriksaan menemukan empat jongkong emas yang disembunyikan di dalam kasut lelaki terbabit, masing-masing dua jongkong dalam setiap kasut.

Katanya, ujian menggunakan peralatan pengesanan khas mengesahkan emas berkenaan mempunyai ketulenan melebihi 99 peratus dengan berat keseluruhan kira-kira empat kilogram.

“Emas berkenaan tidak memenuhi peraturan kastam kerana cuba dibawa keluar dari Indonesia tanpa pengisytiharan.

“Perbuatan itu turut melanggar peraturan larangan dan sekatan terhadap barangan yang dibawa keluar negara,” katanya menerusi kenyataan media di laman sesawang Direktorat Jeneral Cukai dan Kastam, Kementerian Kewangan Indonesia.

Beliau berkata, emas berkenaan dianggarkan bernilai 10 bilion rupiah (kira-kira RM2.25 juta).

Menurutnya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 102A Undang-Undang Nombor 17 Tahun 2006 mengenai Kastam, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Peruntukan sama turut menetapkan denda antara 50 juta rupiah (kira-kira RM11,250) hingga lima bilion rupiah (kira-kira RM1.13 juta).

“Suspek kini ditahan selama 20 hari di pusat tahanan Polis Daerah Sumatera Barat, manakala semua barang bukti dirampas untuk tindakan undang-undang lanjut.

“Kami turut bekerjasama dengan Polis Daerah Sumatera Barat dan Polis Padang Pariaman bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here