DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan penyelewengan, rasuah dan penindasan sehingga golongan miskin terus dipinggirkan.
Perdana Menteri berkata, usaha menghidupkan kesedaran Islam dalam masyarakat perlu disusuli perubahan terhadap sistem negara supaya nilai agama benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat.

“Jangan Islam itu menjadi topeng mengesahkan penyelewengan, rasuah dan penindasan, meminggirkan yang miskin,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Khatam Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi Danal -Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya malam ini.
Anwar berkata, meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan, pengaruh pemikiran penjajah tidak semestinya terhapus sepenuhnya daripada kehidupan masyarakat.
Katanya, institusi pendidikan agama seperti madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren memainkan peranan penting sebagai benteng mempertahankan akidah, akhlak serta jati diri umat Islam.
Beliau berkata, ketika era penjajahan, pengaruh kuasa asing bukan sahaja memberi kesan kepada sistem politik dan pentadbiran, malah turut membentuk sistem pendidikan, bahasa serta budaya masyarakat.
“Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal ialah madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren yang bukan sahaja menanam dan mempertahankan akidah, akhlak serta sahsiah malah roh perjuangan menentang penjajahan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sejak tiga hingga empat tahun lalu berusaha menyalurkan peruntukan tambahan bagi membaiki institusi pendidikan agama yang daif dan ketinggalan.
Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi kerja membaik pulih sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar.
Peruntukan itu turut meliputi peluasan skop bantuan bagi menampung kos operasi institusi berkenaan.





