Dua pekerja lelaki warga tempatan berusia 27 dan 30 tahun maut selepas lemas ketika menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembersihan sisa sampah tersumbat di sebuah kolam takungan di premis perkhidmatan kebersihan di Bukit Tagar, pada 18 November lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika kedua-dua mangsa menjalankan kerja pembersihan sisa sampah yang tersumbat pada bahagian overflow chamber di kolam takungan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pusaran air kuat berlaku sebaik sahaja laluan air dibuka, menyebabkan kedua-dua mangsa disedut masuk dan terperangkap di dalam lubang overflow chamber akibat tekanan arus sehingga mengakibatkan mereka lemas.
Bagaimanapun, seorang lagi pekerja yang turut berada di lokasi kejadian berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan.
Susulan kejadian itu, JKKP Selangor mengarahkan pasukan pegawai penyiasat ke lokasi bagi mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan awal.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kegagalan dalam aspek keselamatan pekerjaan, menyebabkan jabatan mengeluarkan Notis Larangan terhadap aktiviti pembersihan overflow chamber yang tersumbat.
Selain itu, Notis Pembaikan turut dikeluarkan berikutan kegagalan majikan mengadakan pentaksiran risiko bagi aktiviti kerja berkenaan.
JKKP Selangor memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk memanggil pihak majikan dan saksi kejadian untuk memberikan keterangan.
Pihak majikan juga diarahkan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengemukakan cadangan tindakan penambahbaikan dan pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
JKKP Selangor menegaskan majikan bertanggungjawab sepenuhnya mengenal pasti bahaya di tempat kerja di bawah kawalannya, menjalankan pentaksiran risiko serta melaksanakan langkah kawalan sewajarnya sebelum sesuatu kerja dimulakan.
Menurut jabatan itu, kemalangan seperti berkenaan boleh dielakkan sekiranya majikan dan pekerja mematuhi prosedur keselamatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi setiap aktiviti kerja yang dirancang.





