Ibu bapa perlu pupuk budaya membaca, elak anak terlalu leka media sosial – Fahmi

IBU bapa perlu memainkan peranan proaktif memupuk budaya membaca buku fizikal dalam kalangan anak-anak sejak usia muda bagi membina asas literasi yang kukuh, sekali gus mengelakkan mereka terlalu leka dengan aplikasi media sosial dan peranti digital, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ketiadaan tabiat membaca yang mendalam dikhuatiri akan menyebabkan golongan muda lebih cenderung menghabiskan masa melayari aplikasi menerusi media sosial seperti TikTok, berbanding mendalami bahan bacaan berkualiti yang penting untuk pembangunan minda.

“Saya sentuh perkara ini sebab saya risau kalau kita tiada asas membaca yang baik, minat untuk membaca yang mendalam dan sepanjang masa, maka anak-anak kita mungkin mahu bermain TikTok sahaja ataupun tidak berminat untuk membaca buku-buku cerita.

“Membaca buku bukan hanya membina kosa kata, tetapi juga memberi kita satu pengalaman yang jauh lebih luas,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MYReaders Lembah Pantai 2026, Kuala Lumpur hari ini.

Fahmi berkata meskipun teknologi digital memainkan peranan dalam kehidupan seharian, budaya membaca buku fizikal tidak seharusnya diketepikan kerana tabiat itu kekal menjadi asas penting dalam proses pembelajaran dan pembentukan diri kanak-kanak.

Beliau berkata beberapa negara maju juga turut mula memberikan penekanan semula kepada amalan membaca dan menulis secara konvensional, termasuk Sweden yang menyaksikan kecenderungan untuk mengurangkan kebergantungan pada peranti digital dalam kalangan pelajar.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pendedahan terhadap bahan bacaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris perlu diperkukuh supaya golongan muda tidak berasa kekok atau janggal untuk berkomunikasi pada masa hadapan.

Sehubungan dengan itu, bagi memperluas manfaat inisiatif literasi berkenaan, Fahmi bercadang untuk meningkatkan dana bagi program MYReaders daripada RM50,000 kepada RM100,000 pada tahun hadapan bersempena dengan ulang tahun ke-10 pelaksanaannya.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk memperluas pelaksanaan kelas ke beberapa lokasi baharu di seluruh Lembah Pantai, sejajar dengan maklum balas ibu bapa yang lebih selesa menghantar anak-anak mengikuti kelas berhampiran dengan kawasan kediaman masing-masing.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada kesemua 54 peserta program tahun ini meliputi tiga lokasi, iaitu Pusat Kerja dan Latihan Lembah Pantai, Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dan PPR Sri Cempaka sebagai galakan untuk mereka membeli bahan bacaan baharu bersempena dengan musim cuti persekolahan yang akan tiba.

“Gunakanlah dan kalau boleh belikanlah beberapa buku, ada yang dalam bahasa Melayu, ada yang dalam bahasa Inggeris supaya kita dapat pupuk rasa cinta kepada budaya membaca dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, Fahmi berkata program yang memasuki tahun kesembilan pelaksanaannya bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan itu terbukti memberikan impak positif kepada lebih 300 peserta, khususnya dalam memupuk minat membaca, meningkatkan kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris serta membina keyakinan diri kanak-kanak.

Susulan sambutan menggalakkan itu, beliau menyasarkan peningkatan jumlah peserta antara 50 hingga 100 peratus pada tahun hadapan bergantung pada bilangan tutor dan sukarelawan yang berjaya digerakkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here