Polis tahan dua lelaki kes pergaduhan di Bangsar

DUA lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan individu di Jalan Telawi, Bangsar, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi, tular di media sosial Threads menerusi rakaman video yang memaparkan pergaduhan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 21 dan 34 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi pada hari sama.

Menurutnya, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hasil maklumat dan risikan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai melibatkan dua kumpulan individu yang bertindak secara berkumpulan sehingga mencetuskan kekecohan di lokasi kejadian.

“Semakan mendapati suspek berusia 34 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Firdaus berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here