PAKATAN Harapan Negeri Sembilan (PHNS) bimbang kemelut politik berpanjangan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri, terutama menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (MPNPH) Negeri Sembilan berkata, ketidaktentuan politik yang berlarutan lebih 100 hari itu tidak sepatutnya terus dibiarkan sehingga mengganggu urusan kerajaan dan kepentingan rakyat.
Menurutnya, belanjawan negeri bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya menjadi asas kepada pelaksanaan pembangunan, kebajikan rakyat, penyediaan kemudahan awam serta kelangsungan ekonomi negeri.
“Jangan sampai pertelingkahan politik BN-PN menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MPNPH menggesa semua pihak dalam BN dan PN menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan serta memastikan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan teratur.
Katanya, Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik untuk dijadikan medan perebutan kuasa, sebaliknya kepentingan rakyat dan penghormatan terhadap institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan perlu diutamakan.
Menurut kenyataan itu, kemelut berkenaan sepatutnya dapat diselesaikan lebih awal, khususnya selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan supaya penyelesaian dibuat mengikut lunas Perlembagaan.
“Malangnya, perkembangan mutakhir memperlihatkan pertikaian politik masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan dan sudah lebih 100 hari Negeri Sembilan dibelenggu ketidaktentuan politik dan pentadbiran.
“Sepanjang tempoh tersebut, perhatian rakyat terus diheret kepada pergelutan dalaman UMNO dan perebutan kedudukan dalam kerajaan BN-PN,” katanya.
MPNPH turut mempersoalkan perkembangan mesyuarat membabitkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka ruang kepada penyelesaian kemelut berkenaan.
Sebaliknya, menurut kenyataan itu, pendirian wakil rakyat terbabit dilihat masih dipengaruhi arahan serta ketetapan kepimpinan parti masing-masing.
MPNPH juga membangkitkan percanggahan antara pendirian kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri, khususnya berhubung penyelesaian kedudukan Menteri Besar.
“Presiden UMNO sendiri telah menyatakan bahawa penyelesaian kemelut Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz.
“Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan Menteri Besar masih berterusan dan keadaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, MPNPH menegaskan kesetiaan kepada institusi diraja tidak seharusnya terhenti pada kenyataan terbuka, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang menghormati titah, perkenan serta peruntukan perlembagaan.
Katanya, PHNS kekal dengan pendirian menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan menghormati kedudukan serta kewibawaan Institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing.
Pendirian itu, jelasnya, selaras dengan adat, undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain berteraskan prinsip kedaulatan institusi diraja, keluhuran perlembagaan dan kestabilan negeri.
“Rakyat Negeri Sembilan semakin bosan dengan pertelingkahan, percanggahan kenyataan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan.
“Segala tindakan dan keputusan yang berlaku sepanjang kemelut ini akan terus menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan BN-PN memikul amanah pemerintahan,” katanya.
Top of Form
Bottom of Form





