Sektor MRO aeroangkasa jana RM13 bilion, kerajaan tambah baik insentif – PM

KERAJAAN akan menambah baik insentif serta memperkemas proses perniagaan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara usaha memastikan Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor berpotensi tinggi berkenaan, selain mempercepatkan pelaksanaan pelaburan yang dirancang.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang meneliti potensi serta hala tuju strategik negara untuk membangunkan industri MRO aeroangkasa.

“Jentera Kerajaan mesti bertindak pantas untuk memudahkan urusan pelabur dan memastikan pelaburan yang dirancang dapat segera direalisasikan.

“Untuk itu, Kerajaan akan menambah baik insentif dan memperkemas proses bagi memudahkan urusan perniagaan dalam sektor MRO,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Anwar, sektor MRO negara menjana pendapatan sebanyak RM13 bilion pada 2025, bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan hasil industri aeroangkasa negara.

Industri itu turut disokong kira-kira 12,000 tenaga mahir yang menjadi antara aset penting dalam memperkukuh keupayaan Malaysia mengembangkan sektor berkenaan.

Perkembangan itu menunjukkan kepentingan sektor MRO dalam ekosistem aeroangkasa negara, khususnya bagi menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dalam mesyuarat sama, Anwar berkata, kerajaan turut meneliti kemajuan pelaksanaan projek Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).

Perdana Menteri menambah, mesyuarat berkenaan turut membincangkan langkah untuk mempercepat dan memperkemas pelaksanaan projek taman perindustrian hijau bersepadu itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here