PASUKAN keselamatan Thailand merampas 50 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM2.5 juta yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia melalui Kelantan dalam operasi di Tak Bai, bertentangan Pengkalan Kubor, Kota Bharu, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu membabitkan pasukan siasatan narkotik Polis Narathiwat, unit risikan Balai Polis Tak Bai, anggota Pasukan Petugas Marin 33 Tentera Laut Diraja Thailand serta pegawai pentadbiran Daerah Tak Bai.
Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, pasukan berkenaan menemukan tiga guni mencurigakan yang ditinggalkan di tepi jalan di sepanjang laluan Ban Khae Bae-Pa Dado, daerah Tak Bai.
“Hasil pemeriksaan mendapati guni berkenaan mengandungi 50kg dadah kategori satu yang dikenal pasti sebagai syabu,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Prayong berkata, semua dadah itu dirampas sebagai bahan bukti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Tak Bai untuk dokumentasi dan tindakan undang-undang lanjut.
Katanya, polis bersama pasukan siasatan narkotik kini mengumpul bukti forensik serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laluan berhampiran bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang terbabit.
“Kami mengesyaki dadah itu hendak diseludup ke Malaysia melalui Kelantan dengan dibawa menyeberangi Sungai Golok.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti anggota sindiket,” katanya.





