SEORANG wanita maut selepas kereta Proton Saga FL dipandunya dirempuh sebuah Tesla yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Jalan KHTP 1, berhampiran Simpang 4 Kilang Schott, Kulim, malam tadi.
Mangsa, Noor Lela Zainon, 39, yang bekerja di kilang berkenaan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan itu daripada Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 11.55 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.45 malam ketika Tesla dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Lebuh Perdana menghala ke Naga Lilit, manakala mangsa dari arah BKE menghala ke Lebuh Perdana.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, ketika Proton Saga FL itu sedang bergerak di laluannya, tiba-tiba datang kereta Tesla itu yang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kereta dipandu wanita itu pada bahagian tepi sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton Saga FL itu maut di tempat kejadian dan pemandu Tesla yang bekerja sebagai jurutera itu mengalami kecederaan di tangan kanan,” katanya.
Syamsul berkata, pemandu Tesla itu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki berkenaan dibawa menjalani ujian pengesanan alkohol ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek akan direman di mahkamah pagi ini,” katanya.
Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, dengan Tesla rosak teruk di bahagian hadapan serta sisi kiri dan kanan, manakala Proton Saga FL mengalami kerosakan keseluruhan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.





