POLIS menahan lapan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengugut pengusaha restoran dan merosakkan premis perniagaan di daerah Alor Gajah susulan penularan video kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima lima laporan berhubung kejadian ugutan dan khianat membabitkan tiga premis makanan di sekitar Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru, Sabtu dan Ahad lalu.
Katanya, siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai mengugut pengusaha supaya menghentikan operasi perniagaan serta mengancam merosakkan premis jika arahan tidak dipatuhi.
Dalam satu kejadian, suspek turut merosakkan harta benda di dalam premis menggunakan batang kayu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun kira-kira jam 4.30 petang, Sabtu lalu di sekitar Masjid Tanah.
“Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berusia 46 tahun ditahan pada keesokan harinya sekitar jam 1.50 tengah hari di Alor Gajah,” katanya.
Beliau berkata, empat lagi lelaki berusia 32 hingga 33 tahun ditahan kira-kira jam 2 pagi semalam di sekitar Masjid Tanah.
Semua suspek direman sehingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Ahmad berkata, polis turut menyiasat kemungkinan pembabitan mereka dalam kejadian lain yang mempunyai modus operandi sama, selain giat mengesan suspek lain.
Beliau menegaskan polis memandang serius perbuatan ugutan, intimidasi dan khianat terhadap pengusaha perniagaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222 atau balai polis berhampiran.





