‘Belum ada alternatif sesuai ganti Akta Hasutan’ – PM

KERAJAAN belum mempunyai perundangan alternatif yang sesuai bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta 15), meskipun terdapat pelbagai pandangan dan bantahan terhadap akta berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan akta itu, namun mengakui belum ada undang-undang lain yang boleh digunakan bagi menangani pertikaian, khususnya berkaitan hubungan antara kaum.

“Banyak pandangan mengenai masalah Akta 15, termasuk saya. Namun, kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Kesavan meminta penjelasan sama ada terdapat jurang perundangan yang memerlukan campur tangan lebih menyeluruh, mengambil kira jumlah kes pendakwaan yang lebih rendah berbanding laporan polis.

Anwar berkata, Akta Hasutan diperkenalkan pada era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, ketika kepimpinan negara memberi penekanan terhadap keharmonian kaum.

“Bila keputusan di era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, memulakan ketegasan perihal ini kerana bagi pimpinan ketika itu, soal keharmonian kaum harus diutamakan.

“Sebab itu pimpinan Perdana Menteri kedua, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman sangat keras dan tegas dalam hal ini sehingga membawa kepada (penggubalan) Akta Hasutan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pandangan atau bantahan boleh dikemukakan berhubung kes tertentu tanpa mengira latar belakang bagi memperkukuh integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar berkata, penghinaan terhadap mana-mana agama tidak sepatutnya dibenarkan sekiranya negara mahu memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Kalau kita betul-betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama. Baru boleh negara ini selamat.

“Namun, jika kita dalam semua hal, termasuk dari segi undang-undang, mahu ikut anutan agama dan kaum masing-masing, saya tidak fikir kita boleh jamin keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya siasatan kes berkaitan keharmonian kaum dijalankan secara telus dan memberi ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan bantahan sekiranya berlaku ketidakadilan.

Anwar mengakui proses siasatan dalam sesetengah kes mengambil masa terlalu lama, selain menegaskan isu penghinaan terhadap institusi diraja turut perlu diberi perhatian serius.

Katanya, keharmonian negara perlu dijaga dengan memastikan tiada penghinaan terhadap mana-mana agama, tanpa mengira kepercayaan yang dianuti.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here