SEORANG pengarah syarikat stesen minyak didenda RM38,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pam dispenser petrol RON95 yang tidak seimbang untuk kegunaan perdagangan, tahun lalu.
Hakim Jean Sharmila Jesudason menjatuhkan hukuman itu terhadap Kiong Tuck Keong, 61, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki untuk kegunaan perdagangan sebuah alat sukat iaitu pam dispenser RON95 jenis digital buatan Tatsuno yang tidak seimbang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Ban Hoe Hin Kee Service Station Sdn Bhd, No. 180, Jalan Gopeng, Kampar, pada jam 10.35 pagi, 6 Februari 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, selain alat sukat berkenaan boleh dilucut hak, jika sabit kesalahan.
Tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan, lapor BH.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Shamani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



