PDRM diminta kesan pihak bocorkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan – Saifuddin

KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail diminta menggerakkan segala sumber dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan itu selaras dengan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung isu penyebaran dokumen berkenaan.

Menurutnya, terdapat dua perkara utama yang dijelaskan Perdana Menteri, termasuk keputusan kerajaan menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan bagi membolehkan Peguam Negara menyediakan afidavit untuk prosiding semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam Malaysia.

Perkara kedua pula, kata beliau, membabitkan arahan supaya polis menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur kebocoran dokumen berkenaan.

“Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail, perlu menggerakkan segala sumber yang ada untuk mengesan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE’27) di ibu negara hari ini.

Perdana Menteri hari ini menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.

Anwar turut menegaskan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu bukan diedarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) mahupun Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keputusan penyahklasifikasian itu menjadikan dokumen berkenaan sebagai dokumen awam dan tidak lagi tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Sebaik kita menyahklasifikasikannya, ia bermakna dokumen itu menjadi dokumen awam.

“Apa pun, saya menyerahkan perkara ini kepada KPN,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here