Dalang penyeludupan 1.16 tan ketamin guna kapal ditahan dalam masa terdekat – KPN

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terbabit dalam kes penemuan 1.16 tan ketamin di atas kapal tangki milik syarikat berdaftar di Malaysia dan menjangka tangkapan dilakukan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM sedang mengesan individu terbabit termasuk pihak berkaitan dengan syarikat yang memiliki kapal berkenaan.

“Kita akan menjalankan tangkapan secepat mungkin. Kemungkinan pada hari ini ataupun esok. Kita perlu membuat siasatan secara terperinci supaya tindakan kita selaras dengan kehendak undang-undang.

“Individu-individu terbabit polis sudah kenal pasti. Ketika ini, kami sedang cuba mengesan di mana kedudukan mereka dan sebagainya. Ini termasuk syarikat-syarikat berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke 26 Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum 2026 di Hotel Marriott Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan, pihak berkuasa Indonesia menahan sebuah kapal tangki MT Global 168 dan menemukan sejumlah 1.16 tan ketamin disahkan milik sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pengesahan pemilikan itu dibuat berdasarkan semakan terhadap rekod kapal berkenaan.

Syarikat terbabit, menurut Hussein dilaporkan beribu pejabat di Johor Bahru dan mempunyai dua pengarah warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an, yang dikesan tidak mempunyai rekod lampau.

Mohd Khalid dalam pada itu berkata, hasil siasatan mendapati kapal berkenaan belayar dari Johor ke Pelabuhan Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Laut Andaman yang dipercayai menjadi lokasi pemindahan dadah menerusi kaedah kapal ke kapal.

“Mungkin ada berlaku perkara di luar pengetahuan kita. Mungkin berlaku tindakan ship-to-ship transfer (pemindahan kapal ke kapal) semasa berada di keadaan itu (di Laut Andaman).

“Jadi tindakan kapal berkenaan berpusing balik memasuki perairan Indonesia memberi kelebihan untuk Indonesia menjalankan siasatan dan melakukan penahanan.

“Kita akan berusaha dan mengadakan kolaborasi berterusan dengan pihak Indonesia bagi memastikan bahawa mereka yang terbabit akan kita ambil tindakan dari sudut undang-undang untuk kita dakwa,” katanya.

Mohd Khalid berkata, polis masih perlu mendapatkan maklumat lanjut bagi melengkapkan siasatan, khususnya berkaitan pemilikan kapal berkenaan memandangkan kes itu membabitkan jumlah dadah yang besar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here