
HARI ini genaplah 116 hari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasiona (PN) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan (NS) pada 1 Ogos lalu.
Kemenangan atau mandat yang diberikan oleh pengundi NS kepada BN-PN bukanlah kecil. Mereka menang 25 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan. BN menguasai 18 kerusi melalui bantuan PN yang menang tujuh kerusi, mereka menubuhkan kerajaan selepas melepasi angka majoriti mudah 19 kerusi.
Lebih hebat lagi gabungan BN-PN diberi amanah oleh rakyat NS untuk mentadbir negeri penuh adat itu dengan majoriti dua pertiga iaitu 25 kerusi. Sepatutnya masuk hari ke 116 mereka mencipta kejayaan sudah dibentangkan apakah yang dilakukan oleh BN-PN melalui Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Malangnya apa yang kita saksikannya konflik politik yang tidak berkesudahan. Setelah isu proklamasi untuk menurunkan Yang Dipertuan Besar NS Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta reda (gagal) apabila Jabatan Peguam Negara mengisytiharkan proklamasi itu tidak sah,ia kini melarat pula kepada krisis politik dalam BN-UMNO.
Kegopohan pucuk pimpinan UMNO-BN mahu menggantikan Ismail sebagai Menteri Besar dengan mengumumkan peletakan jawatan ADUN Juasseh itu pada 16 November sedangkan ia tidak dipersetujui oleh beliau dan surat belum diserahkan kepada Istana akhirnya ‘makan diri’.
Ismail memberitahu Tuanku Muhriz beliau tidak pernah menghantar surat itu. Kata beliau, pada sidang media pada 20 November lalu, “Saya tidak ada mengemukakan atau memberikan persetujuan berkaitan surat (peletakan jawatan) untuk surat itu dikemukakan kepada ke bawah DYMM Tuanku (Muhriz Tuanku Munawir) dan saya pun tidak menghantar surat berkenaan (ke Istana Negeri Sembilan).’’
Berikutan satu pertemuan diadakan di Wisma UMNO, di Seremban melibatkan 24 ADUN BN-PN pada 21 November yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, kesemua mereka bersetuju mematuhi apa juga keputusan oleh parti. Ismail tidak hadir.
Bagaimanapun sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa berlaku. Walaupun ada bisik-bisik yang menyatakan kesemua mereka akan menyokong pembentangan Belanjawan Negeri dan selepas itu Ismail akan diminta meletak jawatan…semua itu hanya khabar angin.
Apa yang pasti, Negeri Sembilan bagaikan tiada kerajaan yang mentadbir walaupun BN-PN diberikan amanah cukup besar oleh rakyat. Percaturan politik dalaman menyebabkan tindakan BN boleh dianggap mengkhianati mandat rakyat.
Ketika berkempen BN berjanji macam-macam dan menyatakan mereka mampu melakukan pentadbiran lebih baik berbanding PH. Tetapi apabila sudah diberi kuasa oleh rakyat, lain pula jadinya. Soalnya sampai bilakah kemelut ini akan berlanjutan? Adakah pucuk pimpinan BN-UMNO tidak ada rasa malu kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka? Atau adakah parti itu mahu membiarkan krisis berlanjutan sehingga DUN terpaksa dibubarkan?
Perlu dingat, Ismail masih lagi Menteri Besar. Beliau belum tersingkir daripada jawatan itu. Bagaimana kalau Ismail memohon perkenan Tuanku Muhriz membubarkan DUN selepas beliau tidak lagi memperolehi majoriti sokongan ADUN sepertimana dilakukan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini? Adakah BN bersedia untuk ke gelanggang PRN sekali lagi? Dan kalaulah PRN dilaksanakan, adakah BN yakin akan memperolehi mandat besar ?
Tidak kiralah apapun situasinya yang pasti kemelut di NS amat tidak wajar berlaku selepas gabungan parti diberikan mandat begitu besar oleh rakyat. Sia-sia sahaja rakyat bersemangat mengundi BN-PN tetapi kesudahan kepimpinan BN menjebakkan negeri tersebut dalam krisis politik dalaman.
Mungkin juga dengan jumlah pengundi berdaftar tidak sampai 900,000 orang, wajar sahaja kalau PRN diadakan sekali lagi, serah kembali mandat kepada rakyat daripada membiarkan mandat itu ibarat ‘gantung tidak bertali’.
Kalau BN tidak mahu PRN maka buktikan dengan menamatkan segera konflik yang berlaku. Jika mahu ganti Ismail, lakukan secara tertib, mengikut undang-undang dan berlandaskan Perlembagaan, bukan menguruskan seperti kita mahu memecat seseorang pemimpin dalam parti.





