SEBANYAK tiga tan dadah jenis syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menggunakan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Tawau dan Labuan menerusi 21 transaksi sejak Ogos 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, tujuh transaksi membabitkan 1.8 tan syabu bernilai RM93 juta dikesan di Tawau, manakala 14 transaksi lagi melibatkan 1.2 tan bernilai RM63 juta di Labuan.
Beliau berkata, jumlah rampasan berkenaan menggambarkan skala kegiatan penyeludupan yang berpotensi mendedahkan jutaan individu kepada ancaman dadah.
“Bayangkan kalau kita tidak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya mencecah jutaan orang.
“Saya menghargai kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membanteras sindiket ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, tiga tan syabu itu dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada 15 juta individu berdasarkan kadar penggunaan 0.02 gram (g) bagi setiap pengambilan.
Jumlah itu juga boleh menampung enam juta individu sekiranya diambil pada kadar 0.05g sekali guna.
Dalam perkembangan siasatan, Saifuddin berkata, pihak berkuasa sudah mengenal pasti ketua sindiket yang masih bebas, selain mengesan pembabitan beberapa individu termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Katanya, 13 individu yang ditahan, terdiri daripada tujuh anggota TUDM dan enam orang awam, sedang disiasat bagi mengenal pasti peranan masing-masing dalam kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, sebahagian anggota sindiket sudah ditahan, didakwa dan dipenjarakan, manakala usaha mengesan baki individu yang masih bebas sedang diteruskan.
“Justeru, kita dapati ada potensi membongkar sindiket jenayah terancang lebih luas apabila siasatan dibuka dan saya beri jaminan siapa pun ditahan dalam tempoh terdekat tidak akan terlepas, apa-apa pun jawatan dan kedudukannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).
Beliau turut mendedahkan perbezaan nilai pasaran syabu mengikut destinasi jualan, iaitu kira-kira RM50,000 sekilogram di pasaran domestik, RM250,000 di Indonesia dan RM450,000 bagi pasaran antarabangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mengambil kesempatan daripada akses serta hubungan individu tertentu dengan anggota dan operasi penerbangan tentera untuk menggunakan kemudahan TUDM bagi tujuan penyeludupan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan menggunakan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memperluaskan siasatan.
“Hala tuju (siasatan) mahu pergi kepada jenayah terancang dan sebagainya, kita akan guna semua sekali. Bahkan SOSMA sekalipun, kita akan gunakan.
“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti pembabitan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu. Siapa pembiaya, perancang dan yang berperanan sebagai ‘transporter’, ‘runner’ serta semuanya,” katanya.





