Pembantu Hannah dipanggil SPRM bantu siasatan pajakan tanah KLSCAH

PEMBANTU Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi membantu siasatan berhubung isu pembaharuan pajakan tanah Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Hannah mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan di media sosialnya, susulan kehadiran tiga pegawai SPRM ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam.

Menurutnya, pegawai berkenaan meminta pembantunya hadir ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berkaitan perkara itu.

“KLSCAH. Ya saya mengesahkan tiga pegawai SPRM hadir di pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Mereka meminta pembantu saya hadir ke SPRM, pagi ini, bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Isu berkenaan mendapat perhatian susulan keputusan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun pada 14 November lalu dengan premium nominal RM1,000.

Jumlah itu berbeza ketara berbanding anggaran premium awal sebanyak RM4.67 juta.

Hannah sebelum ini menjelaskan pengurangan premium berkenaan mengambil kira perubahan kategori kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi.

Ahli Parlimen Segambut itu turut memaklumkan tanah berkenaan dikhususkan untuk kegunaan institusi dan warisan, yang menjadi antara pertimbangan dalam menilai rayuan KLSCAH bagi mendapatkan pengurangan premium.

Terdahulu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan dilaporkan meluluskan penyerahan balik dan pemberimilikan semula tanah berkenaan untuk kegunaan institusi pada 14 September lalu.

Keputusan berhubung premium pajakan itu bagaimanapun mencetuskan gesaan supaya proses penilaian tanah serta asas pemberian pengurangan premium dijelaskan secara lebih telus kepada masyarakat.

Untuk rekod, bangunan KLSCAH diiktiraf sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007, sebelum Jabatan Warisan Negara memperuntukkan RM500,000 bagi kerja pemuliharaannya pada tahun berikutnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here