PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban hari ini.
Selain Timbalan Perdana Menteri, yang turut hadir, Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh turut menghadap Tuanku Muhriz kira-kira jam 1.18 petang, lapor FMT.
Sementara itu, BH melaporkan, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail di Istana Hinggap jam 2 petang ini.
Difahamkan, Ismail akan menawarkan untuk meletak jawatan selepas beliau dilaporkan gagal mengemukakan senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu.
Sumber memberitahu BH, Ismail tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa mempertimbangkan untuk berundur selepas tidak mendapat sokongan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Situasi itu menyebabkan beliau juga dikatakan kesuntukan masa untuk membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Perkembangan itu berlaku ketika timbul spekulasi mengenai kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan negeri termasuk pelantikan Menteri Besar baharu.
Difahamkan, kedudukan Ismail dijangka ditentukan minggu ini susulan pertemuan membabitkan kesemua 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) pada minggu lalu.





