BARISAN Nasional (BN) menyerahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk memuktamadkan keputusan berhubung situasi politik negeri itu selepas pimpinan parti berkenaan menghadap baginda di Istana Hinggap, Seremban hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana tenang dan pihaknya sudah menyampaikan keputusan yang dicapai bersama kepada Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, keputusan seterusnya diserahkan kepada baginda, manakala kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan pihak istana.
“Kami telah menghadap Tuanku dalam suasana yang tenang, dan Tuanku akan membuat keputusan. Kita serahkan kepada pihak istana mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan yang telah kami capai.
“Biarlah kenyataan istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama bersetuju,” katanya ketika ditemui media di hadapan Istana Hinggap, Seremban sebentar tadi.
Mengulas kemungkinan beberapa nama calon Menteri Besar dikemukakan dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid sekali lagi menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Muhriz untuk diputuskan.
“Insya-Allah akan diselesaikan dalam masa terdekat, dalam minggu ini. Kita serahkan kepada istana, biarlah istana buat keputusan,” katanya.
Turut menghadap bersama Ahmad Zahid ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Terdahulu, Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin BN tiba di Istana Hinggap bagi menghadap Tuanku Muhriz untuk membincangkan perkembangan politik di Negeri Sembilan.





