KEPUTUSAN PKR untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan bermakna parti itu tunduk kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebaliknya berasaskan semangat kerjasama politik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR berkata, keputusan berkenaan dibuat atas dasar muafakat antara parti yang membentuk gabungan kerajaan.
“Kerjasama, bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan keputusan PKR negeri itu untuk tidak bertanding pada PRN berkenaan sebagai tindakan mengorbankan demokrasi demi mengekalkan sokongan politik di peringkat Persekutuan.
Beliau mendakwa keputusan itu dibuat sebagai pertukaran kepada sokongan berterusan GPS terhadap Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.
Semalam, PKR Sarawak mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu juga bertujuan memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, selain memperkukuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak, khususnya dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PRN Sarawak ke-13 menyaksikan penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.





