KERAJAAN menegaskan pengamal media termasuk wartawan berhak bertanyakan apa jua soalan kepada menteri.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu reaksi balas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming terhadap pemberita akhbar tempatan seperti yang tular dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Apa jua soalan, mereka menjalankan tugas sebagai wartawan. Setiap jawapan ataupun respon yang diberikan oleh menteri perlulah disampaikan dengan berhemah serta berlandaskan prinsip keterbukaan di samping saling menghormati antara media dan juga pihak kerajaan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Kor Ming mengugut seorang wartawan setelah bertanyakan soalan berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam sidang akhbar yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebelum mesyuarat berlangsung Kor Ming telah memberi penjelasan kepadanya.
“Beliau telah menyampaikan pandangan dan saya turut menyatakan pendirian yang sama dalam mesyuarat. Saya serahkan kepada beliau untuk memberi respon lanjut,” katanya.
Ketika ditanya sama ada menteri berkenaan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan terbabit, Fahmi berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan berkenaan.
“Saya percaya masih ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak Utusan Malaysia bagi menjernihkan keadaan,” jelasnya.
Fahmi turut menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan yang menghadkan interaksi antara wartawan dan pegawai kerajaan.
“Saya tidak tahu mengenai hal itu. Apa yang saya nyatakan dalam mesyuarat ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri terbuka menerima sebarang soalan.
“Pendirian kerajaan tetap sama wartawan berhak bertanya apa jua soalan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak agar menjadikan isu itu sebagai pengajaran untuk memperkukuh hubungan profesional antara kerajaan dan media.
“Kita perlu belajar daripada apa yang berlaku dan terus memastikan semangat keterbukaan serta saling menghormati ini dijadikan amalan,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Kor Ming mempertahankan tindakannya dengan menegaskan kedua-dua pihak mempunyai hak dalam interaksi media.
Kata Kor Ming sidang akhbar yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 semalam itu bertujuan untuk menarik pelancong asing dan dihadiri oleh wakil media antarabangsa.
Dipetik oleh Oriental Daily News, Kor Ming menekankan bahawa, sama seperti wartawan yang berhak untuk bertanya soalan, orang yang ditemu bual juga berhak untuk menawarkan pembetulan dan ahli parlimen berkenaan menyifatkan ia sebagai amalan yang adil.
Kor Ming menambah reaksi berlebihan akan timbul jika seseorang tidak boleh menerima sedikit pembetulan.
Katanya dalam program tersebut sesi taklimat media yang dikendalikannya serta ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur turut dijalankan dalam bahasa Melayu di sebalik kehadiran wakil media asing.
“Bagaimanapun, masih ada seorang wartawan yang sengaja bertanya mengapa slogan kempen itu tidak dalam bahasa Melayu,” katanya dengan mendakwa ia menunjukkan bahawa wartawan terbabit cuba menimbulkan masalah dan memalukan negara di hadapan media asing.
Kor Ming berkata demikian sebagai menjawab kritikan pelbagai pihak – termasuk kesatuan wartawan – yang tidak setuju dengan cara dia memberikan reaksi selepas ditanya mengenai slogan kempen I Lite U.
Asalnya Kor Ming – yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan – menjelaskan langkah itu diambil kerana ia merupakan acara pelancongan, justeru lebih baik ia begitu bagi menarik pelancong antarabangsa.
UNDILAH |
[socialpoll id=”2974793″]



