KETIKA berucap pada program Yakin MADANI di Seremban hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memint Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kembali menyambung tugas secepat mungkin sebagai Menteri Pengangkutan.
Kata Anwar kementerian itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat melalui pelbagai prasarana pengangkutan.
Anwar berkata beliau menghormati dan memahami alasan peletakan jawatan dikemukakan Loke, namun menegaskan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat dan negara perlu diutamakan.
Bagaimanapun ketika wartawan meminta reaksi Anthony yang turut hadir di program itu, Ahli Parlimen Seremban tersebut sekadar menggelengkan kepala sambil mengangkat tangan kerana enggan mengulas permintaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Persoalannya adakah reaksi Anthony itu bermaksud beliau tidak menerima permintaan Anwar atau beliau enggan mengulas sebelum kembali berunding dengan pemimpin-pemimpin DAP yang lain.
Pada 10 Nov, Loke umum peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Namun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri.





