TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima peruntukan sebanyak RM52.56 juta bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan 347 unit rumah keluarga angkatan tentera di empat kawasan penempatan sejak 2023.
Daripada jumlah itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, berkata, 137 rumah sudah siap dibaik pulih, manakala baki 210 buah masih dalam proses pembaikan yang dijangka disiapkan secara berperingkat antara bulan ini hingga November 2027.
“Insiatif itu membabitkan peruntukan dan perbelanjaan sebanyak RM42.64 juta, dengan tambahan RM9.92 juta dijangka disalurkan pada 2027, menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM52.56 juta.
“Kerja baik pulih ini bukan sekadar menjadikan kediaman lebih selesa, tetapi pelaburan terhadap kesejahteraan keluarga yang menjadi sumber kekuatan dan semangat anggota tentera,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Wira MADANI yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pangkalan TUDM Butterworth hari ini, lapor Bernama.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Muhamad Norazlan berkata, pembangunan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada kekuatan kewangan dan teknologi, malah turut dipengaruhi kualiti sumber manusia yang menggerakkan organisasi berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen berterusan dalam memperkukuh kebajikan keluarga angkatan tentera, khususnya menerusi penyediaan kemudahan perumahan, program peningkatan ekonomi keluarga serta pelbagai inisiatif sokongan.
“Pelaksanaan projek penanaman cendawan tiram di bawah Program Ekonomi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Kementerian Pertahanan yang kini memasuki fasa kedua dan ia membuka peluang kepada ahli BAKAT untuk meningkatkan kemahiran serta memperkukuh ekonomi keluarga menerusi aktiviti penjanaan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, TUDM bertanggungjawab memastikan setiap bentuk sokongan dan peruntukan kerajaan diurus dengan cekap, telus serta berintegriti supaya manfaatnya dapat dinikmati warga tentera dan keluarga.





