Wayne Rooney pertahan kritikan terhadap Virgil van Dijk

BEKAS penyerang Manchester United dan Everton, Wayne Rooney, tetap mempertahankan kenyataannya baru-baru ini mengenai Virgil van Dijk selepas kapten Liverpool itu membalas kritikan pada hujung minggu lalu.

Bekas kapten Manchester United dan England itu sebelum ini mempersoalkan bahasa tubuh Van Dijk selepas kekalahan Liverpool dalam saingan Liga Perdana kepada Brentford minggu lalu.

Liverpool melalui musim yang sukar, namun kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa pada Sabtu menamatkan empat kekalahan liga berturut-turut bagi juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu. Sebelum kemenangan menentang pasukan bimbingan Unai Emery itu, skuad Arne Slot telah tewas dalam enam daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan.

Rooney berpendapat bahawa Van Dijk gagal menunjukkan kepimpinan yang sebenar musim ini. Sebagai tindak balas, pertahanan tengah Belanda itu menyifatkan komen tersebut sebagai “kritikan malas” selepas kemenangan ke atas Aston Villa.

Rooney kemudiannya tampil menjawab balasan Van Dijk, menegaskan bahawa beliau menghormati pemain pertahanan Liverpool itu, namun masih berpendapat bahawa Van Dijk tidak mencapai tahap terbaiknya musim ini.

“Van Dijk, sama seperti Mo Salah, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dia antara, kalau bukan yang terbaik, pemain pertahanan terbaik di dunia. Tahun lepas memang sukar nak cari kelemahannya kerana dia sangat hebat,” katanya dalam podcast BBC miliknya.

“Saya pasti dia sendiri tahu bahawa musim ini dia belum berada di tahap terbaiknya. Sebagai kapten, kalau sesuatu tidak berjalan lancar, tugas anda adalah bercakap dengan rakan sepasukan, panggil mesyuarat – itu yang saya maksudkan tentang kepimpinan.

“Saya hormat sepenuhnya Virgil van Dijk, saya fikir dia pemain yang hebat. Tugas saya sekarang sebagai penganalisis adalah memberi pandangan jujur tentang apa yang saya lihat.

“Saya yakin kalau anda tanya dia atau Arne Slot sendiri, mereka pun akan akui bahawa dia tidak bermain sebaik tahun-tahun sebelumnya — dan itulah maksud sebenar komen saya.”

Van Dijk sebelum ini tidak berpuas hati dengan kenyataan Rooney minggu lalu dan berkata selepas perlawanan hujung minggu:

“Saya tak dengar pula dia cakap apa-apa tahun lepas. Terus terang, saya tak terasa pun. Rooney ialah legenda bola sepak dan pemain besar, tapi saya rasa komen itu agak malas.

“Senang untuk salahkan pemain lain, tapi dia pun tahu kami semua berusaha bersama-sama untuk keluar daripada situasi ini. Macam yang saya kata, bila semuanya berjalan lancar tahun lepas, tiada siapa pun yang bercakap tentang itu. Tapi begitulah lumrah dunia bola sepak. Saya tak ambil hati langsung, cuma saya rasa begitu.”

Liverpool akan kembali beraksi pada Selasa malam dalam perlawanan besar Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Anfield, sebelum berkunjung ke tempat Manchester City pada Ahad untuk aksi penting Liga Perdana.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img