Polis tahan rakan serumah kes jurujual wanita mati dibunuh

POLIS menahan suspek keempat kes pembunuhan seorang jurujual wanita yang ditemui mati tanpa pakaian di Blue Water Estate, Seri Kembangan, di Serdang pada minggu lalu.

Suspek keempat yang juga wanita berusia lingkungan 30-an itu adalah rakan serumah mangsa di kawasan kediaman di Taman Castlefield, Cheras, ibu negara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek yang tidak bekerja ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Ahad lalu bagi membantu siasatan.

“Secara keseluruhan pada masa ini polis sudah menahan empat suspek terdiri tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan pada Jumaat lalu membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa berusia antara 24 hingga 30 tahun.

“Polis juga masih meneruskan usaha mengesan beberapa individu lain yang berkemungkinan dapat membantu melengkapkan siasatan.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai siasatan yang dibuat kerana dikhuatiri menjejaskan hasil siasatan setakat ini,” katanya kepada Berita Harian hari ini.

Muhamad Farid berkata, setakat ini polis sudah merakam lapan keterangan saksi termasuk jiran di kawasan kediaman mangsa dan kenalannya.

“Hari ini kita juga dalam proses mendapatkan perintah lanjutan reman terhadap tiga suspek lelaki yang sebelum ini dibenarkan reman selama lima hari.

“Sehubungan itu, pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai butiran dan maklumat tambahan mengenai mangsa supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-80742222.” katanya.

Mayat mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemukan orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu selepas terhidu bau mencurigakan ketika melalui kawasan Jalan Anggerik, Seri Kembangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img