PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk menahan dana Persekutuan daripada New York City sekiranya calon Zohran Mamdani memenangi pilihan raya Datuk Bandar hari ini, sambil melabelnya sebagai seorang “komunis.”
Menjelang hari pengundian, Trump memberi amaran kepada para pengundi New York supaya menolak Mamdani jika mahu terus menerima sokongan kewangan Persekutuan.
“Jika calon komunis Zohran Mamdani menang Pilihan Raya Datuk Bandar New York City, amat tidak mungkin saya akan menyalurkan dana Persekutuan – kecuali jumlah minimum yang diwajibkan – kepada rumah pertama saya yang tercinta. Saya tidak mahu membazirkan wang yang baik untuk menampung pentadbiran yang buruk,’’ kata Trump dalam hantaran di laman Truth Social.

Trump menambah: “Saya lebih rela melihat seorang Demokrat dengan rekod kejayaan menang, daripada seorang Komunis yang tiada pengalaman dan mempunyai rekod kegagalan total.”
Dalam temu bualnya bersama rancangan 60 Minutes di CBS pada Ahad, Trump turut menyatakan: “Sukar bagi saya sebagai presiden untuk memberi banyak dana kepada New York, kerana jika bandar ini ditadbir oleh seorang komunis, ia hanya akan membazirkan wang yang dihantar ke sana.”
Sementara itu, bekas Gabenor Andrew Cuomo berkata dalam temu bual di Fox News: “Kita perlukan seorang datuk bandar yang boleh berdepan dengan Donald Trump.”
Beliau mengulangi ancaman Trump untuk menghentikan dana dan menghantar pasukan pengawal kebangsaan.
“Trump akan ‘menggempur’ Mamdani seperti pisau panas menembusi mentega,” katanya.
Pada Isnin, Mamdani memberi respons terhadap kenyataan Trump dalam satu acara kempen di Astoria, Queens, dengan menyatakan bahawa beliau sudah “menjangka” Trump akan menyokong Cuomo.
“Dalam hari-hari terakhir ini, apa yang sebelum ini hanya khabar angin dan ketakutan kini menjadi nyata dan terang-terangan,” katanya seperti dilaporkan New York Times.
“Sokongan gerakan MAGA terhadap Andrew Cuomo mencerminkan pemahaman Donald Trump bahawa Cuomo ialah calon terbaik untuknya — bukan untuk rakyat New York City.”
Mamdani turut menegaskan bahawa kenyataan Trump merupakan satu ancaman politik, bukan tindakan sah.
“Kita terlalu sering memperlakukan setiap kata-kata Donald Trump seolah-olah ia sudah menjadi undang-undang hanya kerana siapa yang mengucapkannya. Dana ini bukan pemberian Trump kepada kita di New York City. Ia sebenarnya hak kita sebagai rakyat New York, ‘’katanya.
Menurut tinjauan Atlas Intel yang berakhir pada 30 Oktober, Mamdani mendahului dengan sokongan 41 peratus, diikuti Cuomo dengan 34 peratus dan Curtis Sliwa 24 peratus — kelebihan sekitar 10 mata ke atas pesaingnya.
Jika menang, Mamdani akan mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar pertama New York City yang berfahaman Demokrat Sosialis, berketurunan Asia Selatan, dan beragama Islam sejak jawatan itu diwujudkan pada tahun 1665.
Pandangan Mamdani terhadap perang Israel di Gaza — yang disifatkannya sebagai “genosid” — telah menggerakkan sokongan kuat di kalangan pengundi, namun juga menimbulkan tentangan hebat daripada penyokong Israel.
Dalam wawancara bersama Mehdi Hasan pada Disember 2024, Mamdani pernah berkata beliau akan mengarahkan penangkapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekiranya pemimpin itu menjejakkan kaki ke New York.
“Sebagai Datuk Bandar, New York City akan menangkap Benjamin Netanyahu. Nilai bandar ini sejajar dengan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika itu.
Namun, beliau kemudian menarik balik kenyataan tersebut.
Sokongan terbuka Mamdani terhadap rakyat Palestin, pendiriannya menentang pendudukan Israel, serta rancangannya untuk menyemak semula pelaburan bandar yang dikaitkan dengan Israel telah menyebabkan kumpulan pro-Israel menuduhnya sebagai antisemitik.
Bagaimanapun, 78 peratus pengundi dalam pilihan raya awal bersetuju dengan pendapat Mamdani bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza, manakala 79 peratus menyokong sekatan terhadap penghantaran senjata ke Israel.
UNDILAH |



