DATUK Seri Farhash Wafa Salvador hari ini menafikan dengan tegas laporan beberapa portal berhubung dakwaan telah mencuri dan mengubah wang haram berjumlah berbilion Ringgit ke luar negara antara lainnya Turki dan Afrika, serta kononnya beliau kini merupakan seorang warganegara Turki.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menyifatkan laporan oleh portal MalaysiaNow, MalaysiaKini dan Harakah Daily yang berdasarkan satu rakaman video perbualan dua individu bernama Sofia Rini dan Albert Tei sebagai tuduhan serius.
‘’Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi serta integriti saya, selain memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadi dan urusan perniagaan saya,’’ katanya.
Farhash menegaskan, beliau bukan seorang warganegara Turki, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa, dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di Turki.
‘’Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terlibat dengan bidang politik sekarang. Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik.
‘’Saya memandang serius penyebaran rakaman video tersebut, yang disebarkan dengan niat jahat oleh pihak-pihak tertentu. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi melanggar undang-undang,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
‘’Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini. Saya telah mengarahkan peguam akan mengambil dan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah ini demi melindungi nama baik serta kepentingan saya,’’ katanya.
Farhash menasihatkan, orang ramai agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan, dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.


