KEGIATAN licik sekumpulan penyeluk saku warga asing yang menjadikan pelancong sebagai sasaran di lokasi tumpuan akhirnya terbongkar apabila lima ahlinya diberkas polis dalam operasi khas, minggu lalu.
Kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Guangxi’ itu dipercayai bergerak secara terancang dengan menyasarkan mangsa di kawasan sesak seperti Jonker Walk sebelum melarikan barangan berharga tanpa disedari.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pelancong warga China pada 25 April lalu yang mendakwa kehilangan beg duit mengandungi wang tunai serta kad kredit.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka melancarkan operasi khas sebelum berjaya menahan dua suspek di sekitar Dataran Pahlawan pada hari sama.
“Hasil soal siasat lanjut membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur pada 29 April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek warga China berusia antara 29 hingga 62 tahun itu menyasarkan pelancong lelaki, dengan sekurang-kurangnya lima kes dilaporkan setakat ini membabitkan kerugian kira-kira RM20,000.
Katanya, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk tujuh telefon bimbit, dua beg silang, dua dompet, kad pengenalan warga asing serta mata wang asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan semua suspek dijangka dituduh di Mahkamah Ayer Keroh esok,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya pelancong supaya lebih berwaspada dan sentiasa menjaga barangan peribadi ketika berada di kawasan sesak.


